Thursday, April 9, 2009




Pementasan Nashkah Hikayat Qaziq


Pengalaman menonton pementasan naskhah Hikayat Qaziq karya Siti Jasmina Ibrahim dan diarahkan oleh A. Wahab Hamzah baru-baru ini memunculkan beberapa pertanyaan. Adakah naskhah yang dipentaskan di Auditorium Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu sebuah karya absurd atau paparan absurditi masyarakat Malaysia hari ini?
Jika diteliti dengan terperinci, naskhah tersebut sebenarnya menggambarkan absurditi Malaysia dan dunia hari ini. Kejadian seperti pembuangan bayi, korupsi dan perebutan kuasa adalah sebahagian daripada absurd tersebut.
Hikayat Qaziq sendiri merupakan manifestasi daripada dua zaman yang berbeza tetapi mengangkat persoalan yang sama menggunakan simbol. Siti Jasmina menyampaikan mesej tentang unsur-unsur absurd tersebut melalui perlambangan tertentu seperti peramal berniat jahat, Warangan.
Kedua-dua zaman yang berbeza dalam naskhah tersebut iaitu moden dan purba menceritakan perihal watak utamanya Raja Qaziq dan Qaziq. Kedua-duanya terpaksa mengembara mencari jawapan ke mana menghilangnya bapa masing-masing dan kaitan dengan sejarah Kota Lama serta sumpahan yang terjadi di atas diri mereka.
Biarpun zaman berbeza, isu yang sama seperti cinta, kasih sayang dan konflik dengan kelompok tertentu diketengahkan dengan begitu berkesan oleh Siti Jasmina dan A. Wahab.
Demi keselamatan, kedua-dua watak utama, Raja Qaziq dihantar berguru di Pergunungan Rawi manakala Qaziq pula membesar dan menuntut di kota London. Bagaimanapun, mereka tetap mencari kebenaran dan menyelami rahsia sebenar khususnya menyelamatkan Kota Lama daripada kemusnahan seperti yang disumpah oleh Warangan.
Sebenarnya ‘kekaburan’ yang ditonjolkan dalam Hikayat Qaziq dan isu-isu semasa masyarakat tersebut mengingatkan kita kepada naskhah-naskhah absurd Samuel Barclay Beckett. Watak Raja Qaziq dan Qaziq seolah-olah watak Estragon atau Vladimir dalam naskhah drama terkenal Beckett, Waiting for Godot.
Apa yang diketengahkan oleh Siti Jasmina menerusi karya yang meraih hadiah utama Sayembara Mengarang Sempena 50 Tahun DBP ialah kerencaman hidup dan ada yang tidak mampu difahami dengan logik. Selalu ada perkara-perkara dan polemik yang tidak disangka-sangka, tak boleh difahami, aneh, tidak masuk akal dan sesuatu yang memerlukan manusia harus belajar menerima.
Sama seperti Hikayat Qaziq, karya Beckett datang dengan sesuatu yang kecil, peristiwa ringkas yang sebenarnya ada di depan mata kita. Namun, melalui Waiting for Godot, beliau berjaya menyedarkan orang bahawa manusia sentiasa berhadapan dengan absurditi dan sesuatu yang kadang-kadang tidak rasional.
Naskhah-naskhah Beckett bukan seperti sebuah realisme seperti dramaturgi Emile Zola, Henrik Ibsen atau George Benard Shaw. Sebaliknya ia menekankan aspek simbol dalam mengutara pelbagai persoalan.
Karyanya (termasuk Waiting for Godot) adalah gambaran teatrikal yang pelbagai dimensi yang secara ekspresif bukti daripada pengalaman peribadi pengarang.
Watak Qaziq sendiri mungkin sebahagian situasi yang ada dalam masyarakat Malaysia hari ini. Pencarian seseorang terhadap masa yang memerlukan pengorbanan.
Kota Lama itu sendiri mungkin dapat ditafsirkan dalam banyak perspektif. Boleh sahaja ia merupakan hegemoni atau nilai-nilai tradisionalisme masyarakat Melayu. Namun, secara tidak langsung, Hikayat Qaziq menonjolkan sebuah paparan absurditi masyarakat Malaysia dan dunia hari ini. Mungkin persoalan itu bukan isu yang paling utama.
Aspek kasih sayang, cinta dan pengorbanan adalah mesej sebenar Siti Jasmina dan A. Wahab tetapi kerencaman kisah hidup manusia-manusia di sekitarnya adalah mesej sebenar.
Namun, secara tidak langsung, Siti Jasmina membicarakan tentang aspek manusia dan dimensi-dimensi sosial yang negatif dengan lengkap.
Ada juga watak-watak negatif yang cuba menghancurkan manusia lain dengan menggunakan pelbagai helah dan sedaya upaya mencari kepentingan diri semata-mata. Tidak dinafikan dalam beberapa aspek unsur absurd wujud pada naskhah itu sendiri. Kadang-kadang ia mendekati konsep pementasan bangsawan misalnya adegan pengembaraan Raja Qaziq dan kewujudan burung gergasi bernama Cemarapati.

No comments:

Post a Comment